Geografi dan jumlah penduduk Athens

Athens berselerak ke semua arah dataran tengah Attica, sering dirujuk sebagai Lembangan Attica, yang dibatasi oleh Gunung Aegaleo di barat, Gunung Parnitha di utara, Gunung Penteli di timur laut, Gunung Hymettus di timur, dan Teluk Saronic di barat daya. Athens telah berkembang sehingga meliputi seluruh dataran dan mengakibatkan pertumbuhan selanjutnya lebih sukar pada masa hadapan. Geomorfologi Athens mengakibatkan apa yang dipanggil fenomena penyongsangan suhu yang bertanggungjawab sebahagiannya untuk masalah-masalah pencemaran udara yang dihadapi oleh bandar raya baru-baru ini. (Los Angeles yang mempunyai geomorfologi yang serupa, juga menghadapi masalah yang sama).

Athens secara rasmi mempunyai jumlah penduduk sebanyak 745,514 orang, dengan jumlah penduduk metropolitan sebanyak 3.7 juta. Bagaimanapun, jumlah penduduknya yang sebenar dipercayai adalah jauh lebih tinggi, kerana ketika banci (yang berlaku pada setiap sepuluh tahun), sesetengah penduduk Athens balik ke tempat asal mereka dan berdaftar sebagai warganegara tempatan di sana. Juga tidak dapat dikesan ialah sebilangan pendatang tak berdaftar yang berasal khususnya dari Albania dan negara-negara Eropah Timur yang lain. [4][5]

Tapak kuno Athens berpusat di bukit akropolis yang berbatu-batan. Pada zaman kuno, pelabuhan Piraeus adalah sebuah kota yang berasingan, tetapi kini telah diserap ke dalam Athens yang lebih besar. Perkembangan bandar raya ini yang pesat yang dimulakan pada dekad 50-an dan 60-an masih diteruskan pada hari ini kerana peralihannya daripada sebuah negara pertanian kepada sebuah negara perindustrian. [6] Perluasan kini adalah khususnya pada arah timur dan timur laut (kecenderungan ini adalah amat berkait dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Eleftherios Venizelos yang baru dan Attiki Odos, lebuh raya yang merentasi Attica). Melalui proses ini, Athens telah menyerap banyak bekas subbandar dan desa di Attica dan kini masih berbuat demikian.